Saya tertarik dengan nama Abu Sufian Bin Harb. I have this picture in my head that Abu Sufian seorang panglima Islam yang gagah dan ternama. Dan teringin tahu lebih lanjut. Jadi ini satu cerita yang panjang. Namun saya syorkan bacalah, agar mendapat aura, walaupun sedikit, dari kisah wira2 Islam yang lampau (bukan sebab cerita saya best, tapi sebab hero memang best).
Sebelum memeluk Islam Abu Sufian adalah antara orang besar Quraisy yang terkenal di Mekah. Hebat orangnya kerana setanding dengan Abu Jahal dan Abu Lahab dalam memerangi Islam.
Abu Sufian adalah salah seorang yang menggesa Abu Talib menyerahkan Rasulullah kepada mereka untuk dibunuh semasa Bani Hashim melindungi Rasulullah. Dan Abu Sufian jugalah yang mengetuai rancangan agar Bani Hashim dipulau dari segala muamalat dan sebarang hubungan kerana keengganan mereka untuk menyerahkan Rasulullah.
Dia adalah suami kepada Hindun Binti Utbah. Hindun inilah yang telah membelah dada Saidina Hamzah dalam perang Badar lalu meragut hatinya dan dikunyah2 dan kemudian diludahkan kembali ke atas muka Saidina Hamzah. Malah sebelum itu Hindun telah memotong hidung Saidina Hamzah sehingga rompong dan memotong juga kedua belah telinga Saidina Hamzah.
Hindun juga yang telah mengupah hambanya Wahsyi untuk membunuh Saidina Hamzah dengan menjanjikan kemerdekaan. Kerana gelut untuk mendapatkan kemerdekaannya Wahsyi dengan segala upaya mencuba dan berjaya membunuh Saidina Hamzah dalam peperangan itu.
Abu Sufian juga adalah bapa kepada Muawiyah, seorang panglima Islam yang handal yang menjadi khalifah bani Umaiyyah yang pertama.
Semasa menang di Perang Uhud Abu Sufian telah naik ke puncak Uhud dan melaung sekarang kita seri dengan orang Islam. Rasulullah yang terjatuh dalam lubang yang digali pihak Quraisy dan cedera dalam peperangan itu menyuruh Saidina Umar menjawab kata2 Abu Sufian itu. Lalu sahut Umar, mana boleh Islam dan kafir seri sedangkan kami mati masuk syurga sedangkan kamu masuk neraka.
Begitulah Abu Sufian sebelum memeluk Islam.
Namun apabila berita rancangan nabi membuka semula kota Mekah sampai kepada Abu Sufian, Allah telah memasukkan perasaan takut ke dalam hatinya. Lalu secara senyap Abu Sufian telah pergi ke Mekah menemui anaknya, Ummu Habibah, tanpa diketahui oleh kaumnya.
Ummu Habibah adalah isteri kepada Rasulullah. Ini adalah antara perkara yang membuatkan Abu Sufian teramat marah. Dalam dia memerangi Rasulullah anaknya telah masuk Islam. Dan kemudian Ummu Habibah telah dilamar oleh Rasulullah setelah suaminya yang terdahulu murtad (ada riwayat mengatakan meninggal) semasa mereka berada di Habsyah.
Namun Ummu Habibah tidak memberi laluan kepada bapanya yang ingin bertemu dengan Rasulullah. Lalu Abu Sufian pergi ke rumah Abu Bakar. Kata Abu Bakar pula selagi kamu belum Islam aku tidak dapat menolong kamu. Abu Sufian pergi mencari Umar pula. Tetapi apabila ternampak Umar akan Abu Sufian beliau terus ke rumah Rasulullah meminta izin untuk membunuh Abu Sufian. Kata Ibnu Abbas, bapa saudara nabi, berilah dia peluang untuk berbicara. Aku akan bertanggung jawab ke atasnya.
Lalu apabila Abu Sufian tiba lantas Rasulullah berkata celaka kami Abu Sufian, tidakkah kamu dapat menerima bahawa Allah itu Tuhan kamu? Itu tidak menjadi masalah jawab Abu Sufian. Itu aku boleh terima. Kata Rasulullah lagi, celaka kamu Abu Sufian, tidakkah kamu dapat menerima bahawa Muhammad itu pesuruh Allah? Itu yang tidak dapat aku terima jawab Abu Sufian. Lalu Ibnu Abas terus membawa keluar pedangnya dan berkata kepada Rasulullah biar aku bunuh dia. Namun tidak dibenarkan oleh Rasulullah.
Lalu rasulullah berkata, beritahu kaum mu bahawa sesiapa yang mahu selamat semasa kami masuk ke Mekah nanti mereka boleh berlindung di Kaabah. Atau mereka boleh berlindung di rumah kamu. Atau mereka boleh tinggal di rumah2 mereka. Asalkan mereka tidak menunjukkan apa2 tanda untuk menentang Islam.
Maka apabila Rasulullah memasuki Mekah memanglah tiada setitik darah pun yang menitik dan Mekah dengan itu menjadi milik Islam.
Cerita ini bersangkutan dengan sebuah hadis yang mana Abu Sufian meminta kepada Rasulullah tentang tiga perkara, pertama yang mana Ummu Habibah menjadi isteri Nabi. Kata Nabi na'am, itu telahpun terlaksana. Kedua, Abu Sufian meminta agar anaknya Muawiyah dijadikan pencatit wahyu Nabi. Na'am jawab Rasulullah. Dan yang ketiga agar Abu Sufian dibenarkan menyertai peperangan untuk pihak Islam untuk menebus kembali kesalahannya yang lalu. Jawab Nabi, na'am.
Kesemua permintaan Abu Sufian itu ternyata menjadi kenyataan. Abu Sufian telah menyertai peperangan Yarmouk di mana beliau cedera parah. Beliau meninggal pada tahun 33H, ketika berusia 88 tahun kerana sakit tua dan dikebumikan di Baqi'.
Saya suka bercerita kerana ada bibit2 yang membuat kita terasa agungnya ugama ini. Besarnya Rasul. Kasihnya sahabat kepada Nabi. Gagahnya pahlawan Islam. Hebatnya Islam. Begini rupanya sejarah kita.
Namun, kesimpulan dari hadis dan cerita yang panjang ini kata ustaz adalah untuk mensyukuri anugerah Allah kerana diberikan hidayah. Iaitu dijadikan di antara umat Islam. Ditakdirkan pula menjadi orang Islam yang mahu sembahyang, puasa dan berbuat kebajikan lain. Itu satu anugerah yang amat besar. Dan pula, ditakdirkan menjadi umat Islam yang sembahyang, puasa, berzakat dsbnya dan sentiasa pula mencari2 jalan lain lagi untuk mendapat rahmat Allah. Itu suatu anugerah yang tidak ternilai.
Semoga kita sentiasa bersyukur dengan kesemua nikmat Allah. Dalam mencari redha untuk kehidupan yang abadi.
ps - Saya masih mencari cerita Abu Sufian masuk Islam dan peperangan Yarmouk (in detail), namun masih belum terjumpa. Do you know any?
*****
No comments:
Post a Comment